Jun 20, 2009

RETREAT KHAS PAS

KUALA LUMPUR, 18 Jun: PAS akan menganjurkan retreat khas 18 dan 19 Julai depan bagi menyelesaikan perbezaan pendapat di kalangan pemimpinnya khasnya berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, anggota retreat ini adalah AJK PAS Pusat dan AJK Majlis Syura Ulama.

Di Kota Bharu baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan agar PAS mengadakan satu seminar khas berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan ini.

Beliau mencadangkan agar Setiausaha Agung PAS yang baru, Datuk Mustafa Ali menganjurkan seminar ini.

Mustafa ketika dihubungi Siasah berkata, pihaknya telah mempunyai perancangan untuk mengadakan seminar ini.

"Mandat telah diberikan kepada Ketua Penerangan PAS yang baru, Ustaz Idris untuk menguruskannya," kata Mustafa.

Idris ketika dihubungi berkata, retreat ini adalah permulaan.

"Selepas sudah disepakati oleh pimpinan PAS, kita akan turun ke negeri-negeri dalam bentuk munaqasyah ucapan dasar.

"Kita akan bincang dalam program ini apa-apa perbezaan pendapat dalam PAS. Ini kerana yang bercakap menyokong gagasan inipun kadang-kadang tidak faham, apatah lagi yang menentangnya," kata Idris kepada Siasah.

Idris berkata, beliau pada awalnya mencadangkan agar ia dibuat secepat mungkin memandangkan isu ini tengah panas sekarang namun pimpinan PAS yang lain mencadangkan ia dibuat selepas pilihan raya kecil Manek Urai.

"Penamaan calon Manek Urai 7 Julai, pilihan raya 14 Julai. Jadi kita akan buat hujung minggu selepas itu iaitu 18 dan 19 Julai," katanya lagi.(siasahdaily)

No comments:

Post a Comment