Showing posts with label UMNO -PAS. Show all posts
Showing posts with label UMNO -PAS. Show all posts

Jun 21, 2009

KAMI BERPEGANG TEGUH AMANAT TGHA

Hanya seminggu dua sahaja Umno merasa selesa untuk bernafas apabila menyaksikan Pas bergelut dengan isu Kerajaan Perpaduan. Syabas, buat penyokong setia Pas yang terus mara ke hadapan menjadi perisai agar tembok pertahanan Pas tidak ditembusi oleh Umno dengan propagandanya. Disaat pimpinan Pas lebih banyak mendiamkan diri, penyokong-penyokong setia Pas termasuk penyokong-penyokong kuat PR berterusan menjadi penghalang kepada objektif Umno untuk melihat Pas terkubur.
Meskipun Harakah, satu-satunya media Pas yang sepatutnya boleh diharapkan untuk mempertahankan maruah dan moral Pas dari di`jual' dengan murah kepada Umno, tetapi akhbar tersebut terikut dengan rentak pemimpin mereka. Lesu dan tidak bermaya malahan kadangkala kelihatan laporan atau beritanya saling tidak tumpah seperti Utusan Meloya pula. Mujur, usaha yang berterusan dari penyokong-penyokong bawahan yang mahukan Pas terus dihormati dan disegani bukan di`beli', disedari oleh Mursyidul Am Pas. Lantas, beliau mengeluarkan kenyataan yang agak keras bagi `mengejut'kan beberapa pimpinan yang mungkin `terlena' dengan mimpi indah bersama bakal `tunangan'nya bernama Umno. Selepas itu, barulah seorang demi seorang mengeluarkan pandangan masing-masing dari segala pelusuk negeri. Apabila terjaga dari `lena' barulah mereka tahu bahawa idea Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan sesama pimpinan Pas apatah lagi bersama PR rakan yang banyak membantu Pas sebelum ini. Rahsia bahawa cadangan Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan, bahkan semata-mata pendapat atau keinginan peribadi dua tiga orang di dalam Pas telah didedahkan di dalam Parlimen baru-baru ini oleh Ustaz Abdul Halim. Ketika itu, baru kita faham sebenarnya situasi yang berlaku walaupun sebelum ini beberapa pemimpin Pas mengutarakan berbagai helah dan dalil untuk meyakinkan kita agar menerima `jalan yang mudah' itu. Alhamdulillah, Tuan Guru Nik Aziz terlebih awal `menghidu' bau busuk dari idea tersebut walaupun Mufti Perak menghidunya sebagai wangi yang teramat harum. Setelah menyedari bahawa bukan semua penyokong dan ahli-ahli Pas boleh di`beli' dengan harga yang terlalu murah, Umno mula gelisah dan mahu tidak mahu terpaksa juga pemimpin-pemimpin Umno memuji melangit dua tiga tokoh Pas ini agar impian Umno akan menjadi kenyataan. Jika dahulu mereka mengecam tokoh Pas ini dengan menuduh fatwanya `mengkafirkan Umno' dalam amanat yang terkenal itu, kini mereka terpaksa menjilat ludahnya kembali. Umno tidak mengerti bahawa masih ramai di kalangan penyokong-penyokong dan ahli Pas yang masih memegang kuat fatwa `Amanat Haji Hadi' itu kerana mereka yakin bahawa itu adalah amanat yang betul dan tidak silap walaupun mungkin terdapat dua tiga tokoh Pas sekarang ini yang menganggap amanat itu tidak lagi releven. Kerana Amanat itulah penyokong-penyokong dan ahli Pas menentang keras sebarang usaha ke arah Kerajaan Perpaduan bersama Umno. "Kita menentang Umno bukan kerana ianya Umno".

Jun 20, 2009

RETREAT KHAS PAS

KUALA LUMPUR, 18 Jun: PAS akan menganjurkan retreat khas 18 dan 19 Julai depan bagi menyelesaikan perbezaan pendapat di kalangan pemimpinnya khasnya berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, anggota retreat ini adalah AJK PAS Pusat dan AJK Majlis Syura Ulama.

Di Kota Bharu baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan agar PAS mengadakan satu seminar khas berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan ini.

Beliau mencadangkan agar Setiausaha Agung PAS yang baru, Datuk Mustafa Ali menganjurkan seminar ini.

Mustafa ketika dihubungi Siasah berkata, pihaknya telah mempunyai perancangan untuk mengadakan seminar ini.

"Mandat telah diberikan kepada Ketua Penerangan PAS yang baru, Ustaz Idris untuk menguruskannya," kata Mustafa.

Idris ketika dihubungi berkata, retreat ini adalah permulaan.

"Selepas sudah disepakati oleh pimpinan PAS, kita akan turun ke negeri-negeri dalam bentuk munaqasyah ucapan dasar.

"Kita akan bincang dalam program ini apa-apa perbezaan pendapat dalam PAS. Ini kerana yang bercakap menyokong gagasan inipun kadang-kadang tidak faham, apatah lagi yang menentangnya," kata Idris kepada Siasah.

Idris berkata, beliau pada awalnya mencadangkan agar ia dibuat secepat mungkin memandangkan isu ini tengah panas sekarang namun pimpinan PAS yang lain mencadangkan ia dibuat selepas pilihan raya kecil Manek Urai.

"Penamaan calon Manek Urai 7 Julai, pilihan raya 14 Julai. Jadi kita akan buat hujung minggu selepas itu iaitu 18 dan 19 Julai," katanya lagi.(siasahdaily)

Jun 18, 2009

PAS TETAP UTUH :ANWAR


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yakin PAS tetap utuh biarkan mutakhir ini perbezaan pendapat antara pimpinan kanan parti itu mengisi dada-dada akhbar arus perdana kawalan Barisan Nasional.

Dikerumuni media sebaik sahaja keluar dari Dewan Rakyat hari ini, mantan Timbalan Perdana Menteri itu menolak tanggapan wujudnya perpecahan dalam Pas berhubung tawaran Umno untuk bermuqabalah dengan Pas.

Anwar berkata laporan yang memetik Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi teguran terbuka kepada Timbalan Presiden parti Nasharuddin mat Isa bersabit isu itu tidak perlu menimbulkan andaian bahawa kepimpinan parti itu dalam krisis.

Nik Aziz membuat teguran itu selepas Nasharuddin dilaporkan berkata Pas menyambut-baik kesediaan Najib untuk mengadakan perbincangan mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

"Teguran dari Nik Aziz tentulah dari perasaan beberapa rakan-rakan Pas dan akar umbi, dan tentu dapat dileraikan jika penjelasan dapat diberi secara baik," kata Anwar.

Beliau yakin Presiden Parti Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz mampu mengatasi sebarang isu yang berbangkit demi keutuhan parti .

"Saya ingat ia dalam konteks perkara-perkara yang berbangkit sebelum ini, tetapi saya berkeyakinan dengan kemampuan Nik Aziz dan Presiden Abdul Hadi untuk meleraikan isu yang berbangkit," tambah Anwar.

Anwar berkata isu kerajaan perpaduan itu telah cuba diputarbelitkan oleh UMNO tetapi Pakatan Rakyat yakin dengan iltizam PAS untuk terus bersama gagasan pembangkang itu.

"Saya tidak fikir ada pergolakan kerana muktamar Pas mereka menyatakan pendirian dengan jelas. saya tidak fikir ada kekeliruan dan diulangi oleh pimpinan Pas bahawa mereka komited kepada Pakatan, tidak menolak perbincangan dengan syarat Umno menjamin pilihanraya bebas, hentikan tindakan zalim," kata Anwar.

Jun 12, 2009

PAS TAK AKAN BERSAMA UMNO :FAUZI


Saya yakin PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama,” itulah sepatah komen orang lama Umno, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang kini adalah Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.

Fauzi adalah bekas ADUN Beserah, Ahli Parlimen Kuantan dan Timbalan Menteri semasa dalam Umno dahulu. Sebelum menyertai PKR, beliau pernah diura-urakan akan menyertai PAS.

Beliau mengulas ribut kerajaan perpaduan yang ditafsirkan banyak pihak sebagai PAS mahu bekerjasama dengan Umno. Padahal, kerajaan perpaduan adalah cadangan Presiden PAS untuk menyatukan semua pihak dalam Pakatan Rakyat dengan semua pihak dalam BN bukannya kerjasama antara PAS dengan Umno.

Bagi Fauzi pemimpin PAS adalah dari kalangan cerdik-pandai belaka, kerajaan perpaduan bagi beliau hanyalah batu yang dilontarkan pemimpin PAS ke lubuk Umno bagi menguji tenangnya air, rupa-rupanya banyak buaya dan ular yang sedang kebuluran.

Dalam konteks Negeri Pahang, setelah menyertai dan memimpin PKR, sekaligus bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, Fauzi memandang PAS sebagai tunjang bersama. Bersama Pakatan Rakyat, PAS sebagai sebuah parti akan terus bersatu dan semakin kuat.

Sedangkan PAS, jika bersama-sama Umno dalam BN akan sentiasa dilihat dan dikenal sebagai “parti kedua orang Melayu.” Sebagai pemain kedua, bagi Fauzi, PAS tidak akan mampu berperanan di dalam BN dan tidak akan terserlah. PAS juga, jika bersama dengan Umno akan berhadapan dengan risiko untuk berpecah dan menjadi lemah.

Mengulas akan ketidakyakinannya yang PAS boleh bekerjasama dengan Umno, Fauzi menjelaskan bahawa dasar PAS atau lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat selama ini adalah kerajaan bersih, idea yang bagi Fauzi yang pernah berpuluh tahun di dalam Umno, tidak didokong oleh kepimpinan parti lamanya itu.

Mengakhiri ulasannya, bagi Fauzi jikapun benar memang wujud polemik dalam parti PAS akibat gagasan kerajaan perpaduan yang dibicarakan semua orang mutakhir ini, bagi beliau polemik itu adalah hal dalaman PAS, dan sebagai pemimpin PKR, rakan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau menghormatinya dan mengambil sikap untuk tidak mencampurinya. -