Ceti haram salah rumah
  • Rosidah menunjukkan kepada Syed Othman notis pemberitahuan bahawa mereka bukan peminjam ah long ditampal Kereta Perodua Viva yang turut disimbah cat merah. di pagar rumah.
Add caption

PASIR GUDANG – Sebuah keluarga enam beranak di Jalan Tasek, Bandar Seri Alam, di sini hidup dalam ketakutan dan trauma selepas dua kali rumahnya dipercayai diserang ah long yang tersalah rumah.

Guru tadika, Rosidah Ahmad, 49, berkata, kejadian dua keretanya disimbah cat merah kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin, merupakan kali kedua selepas kejadian pertama iaitu pintu pagar rumahnya dimangga kira-kira seminggu yang lalu.

Menurutnya, dua hari sebelum kejadian di mana dua keretanya jenis Toyota Avanza dan Perodua Viva disimbah cat, hatinya tidak keruan selepas menyedari sebuah kereta jenis

Perodua Kenari dinaiki dua lelaki mengekorinya dan mundar-mandir di kawasan kediamannya.

“Saya keluarkan kereta Viva ke luar pagar untuk menghantar anak ke tempat kerja, manakala kereta Avanza masih berada di kawasan dalam pagar lalu masuk semula ke dalam rumah.

“Tiba-tiba anak ketiga saya berlari keluar rumah selepas mendengar seperti ada tin terjatuh dan menjerit memanggil saya yang bersendirian berada di dalam rumah.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat keadaan kereta Viva yang baru sebulan dibeli berlumuran cat merah termasuk Avanza yang berada dalam pagar,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Rosidah berkata, dia mengesyaki tindakan itu perbuatan ah long yang tersalah rumah kerana mereka sekeluarga tidak pernah membuat sebarang pinjaman daripada pihak tidak berlesen.

Katanya, kejadian itu juga bukan sahaja mendatangkan kerugian malah memalukannya sekeluarga kerana dipandang sinis jiran-jiran.

“Saya telah menampal notis tertulis ‘saya tidak ada pinjam wang’ untuk memberitahu bukan kami yang mereka cari.

“Saya kini bukan sahaja bimbangkan keselamatan kami sekeluarga, malah malu dengan jiran-jiran yang pastinya membuat tanggapan kami yang pinjam wang ah long,” katanya.

Dia turut mengakui sudah membuat dua kali laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke Biro Pengaduan Awam (BPA) dalam masa terdekat.

“Kita nak tengok apa reaksi BPA dalam soal ini memandangkan sudah dua laporan polis dibuat pengadu dalam perkara ini,” katanya.