-
Rosidah
menunjukkan kepada Syed Othman notis pemberitahuan bahawa mereka bukan
peminjam ah long ditampal Kereta Perodua Viva yang turut disimbah cat
merah. di pagar rumah.
 |
Add caption |
PASIR GUDANG – Sebuah keluarga enam beranak di Jalan Tasek, Bandar Seri
Alam, di sini hidup dalam ketakutan dan trauma selepas dua kali
rumahnya dipercayai diserang ah long yang tersalah rumah.
Guru tadika, Rosidah Ahmad, 49, berkata, kejadian dua keretanya
disimbah cat merah kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin, merupakan kali
kedua selepas kejadian pertama iaitu pintu pagar rumahnya dimangga
kira-kira seminggu yang lalu.
Menurutnya, dua hari sebelum kejadian di mana dua keretanya jenis
Toyota Avanza dan Perodua Viva disimbah cat, hatinya tidak keruan
selepas menyedari sebuah kereta jenis
Perodua Kenari dinaiki dua lelaki mengekorinya dan mundar-mandir di kawasan kediamannya.
“Saya keluarkan kereta Viva ke luar pagar untuk menghantar anak ke
tempat kerja, manakala kereta Avanza masih berada di kawasan dalam pagar
lalu masuk semula ke dalam rumah.
“Tiba-tiba anak ketiga saya berlari keluar rumah selepas mendengar
seperti ada tin terjatuh dan menjerit memanggil saya yang bersendirian
berada di dalam rumah.
“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat keadaan kereta Viva yang
baru sebulan dibeli berlumuran cat merah termasuk Avanza yang berada
dalam pagar,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Rosidah berkata, dia mengesyaki tindakan itu perbuatan ah long yang
tersalah rumah kerana mereka sekeluarga tidak pernah membuat sebarang
pinjaman daripada pihak tidak berlesen.
Katanya, kejadian itu juga bukan sahaja mendatangkan kerugian malah memalukannya sekeluarga kerana dipandang sinis jiran-jiran.
“Saya telah menampal notis tertulis ‘saya tidak ada pinjam wang’ untuk memberitahu bukan kami yang mereka cari.
“Saya kini bukan sahaja bimbangkan keselamatan kami sekeluarga, malah
malu dengan jiran-jiran yang pastinya membuat tanggapan kami yang pinjam
wang ah long,” katanya.
Dia turut mengakui sudah membuat dua kali laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) negeri, Syed Othman
Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke Biro
Pengaduan Awam (BPA) dalam masa terdekat.
“Kita nak tengok apa reaksi BPA dalam soal ini memandangkan sudah dua laporan polis dibuat pengadu dalam perkara ini,” katanya.