PASIR GUDANG - Sepasang warga emas mengenang nasib mereka apabila diarah berpindah dari rumah yang didiami sejak 18 tahun lalu.
Kena pindah pada usia senj
Pasangan yang menetap berhampiran kawasan perindustrian Taman Kota Puteri, Ahmad Hussain, 70, di sini mengharapkan belas ihsan pihak berkenaan.

Katanya, dia meneroka tanah itu yang dipenuhi hutan tebal dengan tulang empat keratnya 18 tahun lalu sebelum membina rumah sebagai tempat berteduh.

Menurutnya, enam anaknya yang sudah berkeluarga turut berhijrah dari Kedah ke negeri ini dan tinggal bersamanya di kawasan itu.

“Masa mula-mula pakcik teroka tanah ini, ada yang beritahu tanah ini milik individu. Pakcik bersihkan kawasan ini dan tanam dengan pelbagai jenis buah-buahan yang boleh dijual.

“Kami orang susah, anak-anak yang dah berkeluarga pun tumpang berteduh di sini sambil berniaga kecil-kecilan kerana tak mampu nak menyewa rumah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Hussain berkata, tiga bulan lalu, mereka sekeluarga didatangi pihak bertanggungjawab yang memintanya berpindah ke kawasan lain kerana tanah itu akan dibersihkan untuk tujuan pembinaan perumahan.

Menurutnya, lebih meresahkan apabila mereka sekali lagi didatangi pihak pemaju dua minggu lalu yang memintanya mengosongkan tanah itu sebelum Disember depan.

“Pakcik ada cuba memohon rumah PPRT, tapi diberitahu tidak layak kerana sudah berumur 70 tahun dan ada juga anak yang memohon, tapi tidak diterima.

“Pak cik buntu tak tahu nak berpindah ke mana dengan keadaan kesempitan hidup seperti ini,” katanya.

Katanya, jika terpaksa dia memang akan berpindah, tetapi berharap ada sikap timbang rasa dan belas ihsan pihak berkenaan dengan menghulurkan sedikit pampasan untuk membantu meringankan beban hidupnya.

Menurutnya, perjumpaan telah dibuat bersama pemaju dan sekali lagi mereka diminta ke pejabat pemaju untuk mengadakan rundingan pada Rabu depan.

“Pak cik harap timbang rasa pemaju supaya prihatin dengan nasib kami yang sudah menetap di sini sejak 18 tahun lalu.

“Harapnya ada sedikit pampasan yang boleh membantu meringankan beban kami yang sudah bersusah-payah meneroka tanah ini,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya menggalakkan keluarga berkenaan mengadakan perbincangan dengan pemaju.

Menurutnya, pihaknya bersedia menghulurkan bantuan guaman sekiranya perbincangan yang dibuat gagal mendapat kata sepakat.

“Setakat ini keluarga ini tidak menerima notis bertulis yang mengarahkan mereka berpindah ke tempat lain.

“Kita rayu hasil perundingan tidak mengecewakan keluarga ini kerana dengan adanya pampasan sekurang-kurangnya sedikit sebanyak boleh membantu mereka mendapatkan kediaman lain,” katanya.