• 'Jangan kejar saya lagi' Syed Othman (kiri) melihat laporan polis yang pernah dibuat mangsa.
PASIR GUDANG – Gara-gara buntu untuk melangsaikan hutang selepas ditipu rakan kongsi perniagaan, seorang penyelia terpaksa mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman ah long sehingga memerangkap diri.

Ramli, bukan nama sebenar berkata, dia kini bingung selepas dibelenggu hutang pokok keseluruhan sebanyak RM17,000 yang dipinjam dengan 11 ah long tanpa disedarinya sejak lebih setahun lalu.

Dia mendakwa, hidupnya trauma dan tidak menentu selepas menerima ugutan bunuh dan pernah diculik serta dipukul sehingga mengalami masalah pendengaran akibat dihentak di bahagian telinga.

“Saya diculik dan dibelasah dari jam 9 pagi hingga 11 malam tanpa belas kasihan oleh sekumpulan lima lelaki yang mendesak saya membayar hutang sehingga saya trauma.

“Saya bernasib baik kerana ada kenalan yang datang membayar ‘duit kopi’ sebanyak RM1,000 kepada lima lelaki itu yang kemudiannya membebaskan saya dalam keadaan cedera parah,” katanya semalam.

Ramli berkata, hidupnya sekeluarga kucar-kacir dan terpaksa menghantar isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung sejak tiga minggu lalu kerana memikirkan keselamatan mereka.

Menurutnya, dia yang sudah lebih 18 tahun bekerja di sebuah kilang hidup dalam keadaan berjaga-jaga kerana terlalu takut dengan ugutan ah long.

“Isteri saya hari-hari menangis risaukan keselamatan saya. Saya sendiri terpaksa menumpang di rumah rakan kerana tidak tahan dengan tindakan memangga pagar rumah saya dan ugutan bunuh ah long.

“Kehidupan saya semakin tertekan sejak berjauhan dengan keluarga sehingga prestasi kerja semakin menurun, adik-beradik dan kawan-kawan pun sudah tidak mampu nak tolong,” katanya.

Menurutnya, dia bukan tidak mahu membayar hutang, tetapi biarlah secara bulanan kerana cara bayaran secara mingguan mencecah sehingga RM3,000 sebulan di luar kemampuannya.

“Saya merayu kalau boleh jangan kejar saya lagi. Berilah saya masa dan tolong pertimbangkan bayaran secara bulanan kerana saya akan langsaikan semua hutang saya secara sedikit demi sedikit,” katanya.

Ramli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dalam pinjaman wang ah long.

"Cara itu bukan jalan penyelesaian terbaik untuk melangsaikan hutang, sebaliknya lebih menyusahkan apabila terperangkap," katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya meminta pihak polis peka dengan kes ugutan bunuh dan memberi perlindungan kepada mangsa yang sudah dua kali membuat laporan polis.

Menurutnya, pihaknya juga berharap pihak berkaitan boleh bersimpati dengan mangsa dengan membuat rundingan mencari jalan penyelesaian secara baik memandangkan mangsa bersedia membayar balik pinjaman yang dibuat.

“Kita akan membantu membayar balik sekadar termampu untuk meringankan beban mangsa, selain mengharapkan rundingan daripada pihak terbabit supaya bayaran boleh dibuat secara bulanan,” katanya.