Dec 21, 2011

J-CORP bakal ambilalih QSR dan KFCH?

JOHOR BAHRU, 21 Disember 2011 – Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mengambil inisiatif yang proaktif dengan mengadakan sidang akhbar berkenaan isu cadangan pengambilalihan QSR dan KFCH oleh Johor Corporation (J-CORP) semalam.

Timbalan pesuruhjaya PAS negeri Johor, Tuan Haji Dzulkefly Bin Ahmad membentangkan secara jelas dan terperinci kesungguhan cadangan J-CORP dalam pengambilalihan QSR dan KFCH yang mana tawaran tersebut akan berakhir pada 21 Disember 2011, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa J-CORP pada 14 Disember 2011 yang lalu, melalui sebuah syarikat khas (SPV), Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB) telah mengemukakan tawaran kepada Lembaga Pengarah QSR Brands Berhad dan KFC Holdings Bhd. Untuk mengambilalih keseluruhan perniagaan termasuk semua aset serta liabiliti kedua-dua syarikat tersebut.

J-CORP kini memiliki 51% saham dalam MESB manakala 49% saham dimiliki oleh CVC Capital Partner Asia Pasific (GVC), sebuah firma ekuiti persendirian antarabangsa. Sehingga kini J-CORP juga memiliki 53% saham dalam Kulim Bhd. manakala Kulim Bhd. Memiliki 57.5% saham dalam QSR Brands Bhd. QSR pula memiliki 50.6% saham dalam KFCH.

Menurutnya lagi, pengambilalihan ini akan dibiayai menerusi gabungan antara ekuiti, pinjaman dan beberapa instrumen pembiayaan lain yang bakal dicadangkan kelak.

Lebih membimbangkan lagi, sekiranya pengambilalihan ini berjaya, maka QSR dan KFCH akan dikeluarkan daripada senarai Bursa Saham Kuala Lumpur dan akan diubah status nya menjadi ‘syarikat persendirian’.

Dalam sidang akbar yang sama, Tuan Haji Dzulkefly juga menyatakan dengan tegas bahawa PAS negeri Johor ingin mengemukakan tujuh persoalan yang penting berkaitan dengan pengambilalihan QSR dan KFCH oleh J-CORP.

1. Apakah justifikasi proses pengambilalihan yang melibatkan kos RM5.2 bilion sedangkan J-CORP perlu menebus bayar bon yang akan matang pada 31 Julai 2012 berjumlah RM3.58 bilion. Kenyataan akhbar juga menyatakan J-CORP kan menerbitkan bon baru berjumlah RM2.5 bilion bagi tujuan yang sama. Persoalannya, tidakkah proses pengambilalihan ini akan menambah lagi hutang J-CORP?

2. Mengapakah proses pengambilalihan dilakukan melalui penswastaan atau mengguanakan pihak ketiga iaitu Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB)?

3. Apakah sebenarnya agenda Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB) mengeluarkan QSR dan KFCH dari senarai BSKL dengan menjadikan statusnya ‘syarikat persendirian’?Adakah MESB cuba untuk mengelak daripada terikat dengan peraturan Suruhanjaya Security (SC)?

4. Apakah jaminan yang boleh diberikan oleh J-CORP bahawa saham QSR dan KFCH tidak akan terjejas kepada bukan Bumiputera?

5. Amalan biasa J-CORP bagi menyelesaikan hutangnya adalah dengan menjual aset –asetnya seperti penjualan Menara Pejabat Kotaraya dengan 100 tempat letak kereta berharga RM27 juta dan penjualan 13,687 hektar ladang kelapa sawit kepada Kulim Bhd. pada harga RM700 juta. Dengan pertambahan hutang RM5.2 bilion, maka ini akan memaksa J-CORP menjual lebih banyak aset –asetnya bagi tujuan membayar hutang.

6. Kemungkinan juga saham QSR dan KFCH akan dijual bagi membayar hutang J-CORP. Sekiranya keadaan ini terjadi, maka sebenarnya siapakah yang akan membeli saham-saham QSR dan KFCH? Siapakah sebenarnya yang akan mengaut keuntungan, samada J-CORP atau pihaak ketiga iaitu CVC?

7. Apakah juustifikasi kenyataan J-CORP yang menyatakan pengambilalihan tersebut akan menjadikan J-CORP mempunyai wang secukupnya bukan sahaja untuk menjelaskan hutang tetepi juga menjana pulangan secara langsung? Bukankah kenyataan ini membayangkan bahawa kemungkinan saham QSR dan KFCH akan dijual kepada pihak lain?

Kesemua persoalan di atas katanya, perlu dijelaskan oleh J-CORP kepada rakyat Johor kerana J-CORP adalah milik kerajaan Johor dan rakyat Johor.

“Saya cabar Dato’ Ghani Othman, selaku Menteri Besar negeri Johor untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa pengambilalihan QSR dan KFCH ini tidak melibatkan kepentingan individu khususnya UMNO dan Barisan Nasional serta tidak menggadai J-CORP kepada bukan bumiputera yang lain,” tegas beliau.

Hadir bersama beliau saudara Syed Othman Bin Syed Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Arab, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor.

Sidang kenyataan akhbar yang tersebut bermula seawal 11.45pagi dan berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari.

No comments:

Post a Comment