Mar 2, 2009

Ceramah Perdana Pelancaran Dana Pusat Aduan Rakyat

BATU PAHAT, 1 Mac (Hrkh) - PAS Johor akan menganjurkan Ceramah Perdana sempena Pelancaran Dana Pusat Aduan Rakyat (PAR) di Pusat Tarbiyah Islam Taman Melewar, 9 Mac depan, bermula 9.00 malam.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dijangka akan menyempurnakan majlis pelancaran dana ini, turut sama menyampaikan pidato pada majlis tersebut, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Ketua Pemuda PAS Pusat; Salahuddin Ayub selain Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Muhammad.

PAR ditubuhkan sejak Ogos tahun lalu di sembilan kawasan Parlimen dan 34 Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), yang ditandingi PAS pada Pilihan raya Umum (PRU) Ke-12 lalu.

"Penubuhan PAR di kawasan-kawasan yang kita tandingi pada PRU lalu bertujuan memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang menghadapi masalah terutama masalah yang tidak mampu diselesaikan wakil-wakil rakyat mereka.

"Sehingga hari ini PAR yang diujudkan di semua zon telah berjaya membawa masalah rakyat ini ke pihak berkaitan bahkan terdapat kes sehingga ke peringkat Menteri Besar," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Muhammad, ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, kemampuan Penyelia PAR yang juga bekas calon PAS pada PRU lalu membawa masalah rakyat ini sehingga kepada menteri besar benar-benar telah membuka mata rakyat kerana sebelum ini tidak ada seorang pun pemimpin Umno-Barisan Nasional di negeri ini bertindak demikian semata-mata untuk membela nasib rakyat yang tertindas.

"Sebaliknya pemimpin-pemimpin ini akan menghilangkan diri di saat rakyat benar-benar memerlukan pertolongan mereka, sikap pemimpin ini menyebabkan rakyat mula beralih keyakinan kepada PAS untuk menyelesaikan masalah mereka.

"PAR yang semakin mendapat tempat di hati rakyat negeri ini memerlukan kos yang agak besar bagi membiayai program-program yang akan dijalankan selepas ini,"jelasnya.

Justeru itu sokongan dari semua pihak amat-amat diharapkan bagi membolehkan PAR melangkah lebih jauh lagi.

Sehubungan dengan itu Dr Mahfodz yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS, menyeru akan-anak Johor di Lembah Kelang dan kawasan sekitar supaya hadir pada majlis tersebut, bagi mereka yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan kepada Lajnah Ekonomi dan Pembangunan PAS Johor, nombor akaun 01023010064990 (Bank Islam). - mks._

Sumber

Nota: Bagi Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, anda bolehlah menyumbang melalui akaun bank seperti yang tertera di sebelah. Sama-sama kita jayakan agenda perjuangan rakyat ini...

No comments:

Post a Comment