Mar 18, 2009

BERSALAH Tapi.....

Malaysia makin hancur dan menuju kehancuran...

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk neraka.” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Hadis diriwayatkan oleh Ahmad yang maksudnya:
“Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberi jalan terhadap kedua-duanya.”

Al-Quran juga tidak senang dengan perbuatan rasuah dan banyak ayat melarang perbuatan terkutuk antaranya,
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (salah).” (Surah al Baqarah, ayat 188)

Dalam hal kehakiman Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Allah melaknat mereka yang menerima rasuah itu dalam kehakiman.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ar Tarmizi)

Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang-orang mukmin, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan janganlah pula mengkhianati amanah yang dipercayai kepadamu sedangkan kamu mengetahui.”
(Surah al Anfal, ayat 27)


Ali dilarang bertanding

KUALA LUMPUR 17 Mac – Hasrat Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk bertanding jawatan kedua tertinggi UMNO musnah apabila Lembaga Disiplin hari ini membuat keputusan melarang beliau bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Lembaga Disiplin parti itu mengumumkan, Mohd. Ali yang juga Naib Presiden UMNO dan salah seorang calon ‘pilihan’bagi jawatan itu bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Selain Mohd. Ali, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail turut mengumumkan, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersalah di bawah perkara yang sama.

Bagaimanapun calon Ketua Pemuda UMNO itu hanya dikenakan tindakan amaran.
Seorang lagi calon Ketua Pemuda yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula didapati tidak bersalah atas dakwaan politik wang.

Pada sidang akhbar tersebut Lembaga Disiplin UMNO mengumumkan hasil siasatan 29 kes pemimpin dan ahli UMNO berhubung kes politik wang dengan 15 daripadanya didapati bersalah.

Turut bersalah dan digantung keahlian selama tiga tahun ialah Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Japlin Akin; Ketua Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Salmah Pin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Maran, Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi

Ahmad Rithauddeen berkata, Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO adalah berkaitan anggapan kebersalahan jika ejen atau pelobi atau perayu kempen calon didapati bersalah dan ada fakta calon terbabit ada pengetahuan atau terlibat.

‘‘Jadi kesalahan itu adalah disebabkan ada sabit pekerja dia atau apa saja, yang buat salah, maka dia sebagai prinsipal juga akan dianggap bersalah. Tetap kesalahan itu tidaklah sama seperti yang dilakukan ejennya,’’ katanya di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini.

Menurutnya, dalam kes Mohd. Ali, Lembaga Disiplin mendapati tiga ejen Ketua Menteri Melaka itu termasuk Setiausaha Politiknya, Saadun Basirun didapati bersalah dalam politik wang.
Tambahnya, dua lagi ejen beliau ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hasan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail.
Ketiga-tiga mereka dikenakan hukuman gantung keahlian selama tiga tahun.

Ahmad Ritahuddeen berkata, walaupun Mohd. Ali yang juga Naib Presiden UMNO telah diberi peluang memberikan penjelasan dalam soal siasat yang dijalankan, Lembaga Disiplin tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

Beliau menjelaskan, Mohd. Ali hanya dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti minggu depan tetapi keahliannya tidak digantung.

Ditanya kenapa hukuman yang tidak sama dikenakan ke atas Khairy walaupun didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 10.1, beliau berkata, hukuman tidak semestinya sama kerana tahap kesalahan yang berbeza.

Perbezaan itu juga katanya, adalah kerana pembuktian yang lemah terhadap restu calon kepada ejennya.

‘‘Hubungan ejen dengan Khairy juga tidak begitu jelas, bagaimanapun untuk melepaskannya begitu sahaja tidak boleh kerana terdapat sedikit bukti melibatkan beliau dengan kesalahan berkenaan,’’ ujarnya.

Ditanya aduan politik wang terhadap Ahli MT UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria yang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah, Ahmad Rithauddeen enggan mengulas kerana ia belum diputuskan oleh pihak berkenaan.

Mengenai calon-calon MT yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jelasnya, ia adalah perkara yang berasingan.

‘‘Asas kita adalah Tataetika Ahli UMNO sahaja. Kalau SPRM ia libatkan kesalahan jenayah. Jika kesalahan jenayah berlaku, ia tugas polis untuk siasat dan tentukan ada kes atau tidak, jika ada teruskan dengan pendakwaan,’’ ujarnya.

Menurutnya, pengumuman hukuman terhadap ahli UMNO yang terbabit dengan salah laku menjelang Perhimpunan Agung bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia juga pernah dilakukan sebelum ini.

‘‘Kita juga membuat keputusan sama pada pemilihan sebelum ini, mereka yang terbabit boleh membuat rayuan termasuk selepas pemilihan,” katanya.



SPRM tidak siasat kes Ali Rustam
KUALA LUMPUR 17 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjalankan siasatan ke atas calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO hari ini atas kesalahan politik wang.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat asas untuk berbuat demikian selain perlu menunggu laporan daripada lembaga tersebut.

"SPRM perlukan maklumat yang ada asas untuk kami jalankan siasatan. Setakat ini, Lembaga Disiplin UMNO tidak memberi sebarang aduan atau maklumat berkaitan kepada pihak SPRM," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPRM selepas Mohd. Ali didapati bersalah atas kesalahan politik wang pada mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO, di sini hari ini.
Lembaga Disiplin UMNO mendapati Mohd. Ali bersalah mengikut Perkara 10.1, Tataetika Ahli UMNO kerana kesalahan rasuah dan politik wang yang dilakukan oleh ejennya.

Berikutan itu, Mohd. Ali dikenakan larangan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti minggu depan.

Pengerusi lembaga itu, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail turut mengumumkan 14 lagi anggota UMNO yang didapati bersalah di bawah Perlembagaan dan Tataetika Ahli UMNO, termasuk Naib Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin tetapi hanya diberi amaran.



'Saya percaya beliau setia'- Najib

KUALA LUMPUR 17 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kekal sebagai Ketua Menteri Melaka walaupun Lembaga Disiplin UMNO mendapati beliau melakukan kesalahan politik wang.

Timbalan Perdana Menteri juga percaya biar pun tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan parti akhir bulan ini, namun Naib Presiden UMNO itu akan terus kekal bersama parti.

''Saya percaya Datuk Ali Rustam sebagai seorang ahli parti yang setia kepada UMNO akan terima (keputusan) dengan hati yang terbuka dan terus memberi sumbangan kepada pentadbiran serta perjuangan parti," katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keputusan Lembaga Disiplin itu perlu dihormati oleh semua pihak.

Menurut beliau, lembaga itu merupakan badan pengawasan disiplin yang telah diberi mandat oleh Majlis Tertinggi (MT) parti untuk bertindak sebagai sebuah badan bebas.

"Jadi apa-apa keputusan, kita akan menghormati Lembaga Disiplin kerana mereka membuat kerja dengan tujuan memelihara nama baik UMNO," tegasnya.



Komen:

Dah didapati bersalah pun masih boleh jadi Ketua Menteri????
Kenapa tak lapor pada SPRM? Tak samakah RASUAH DALAM UMNO dengan RASUAH???
Ada pulak yang DIDAPATI BERSALAH tapi MASIH BOLEH BERTANDING?

Fikirkanlah tuan-tuan.......

No comments:

Post a Comment