May 25, 2013

Loji kumbahan meloyakan

Loji kumbahan meloyakan
AZIZAN INCHE HARUN
25 Mei 2013
Loji kumbahan meloyakan
Syed Othman (tiga, kanan) bersama penduduk menunjukkan keadaan loji kumbahan yang terbiar.
Loji kumbahan meloyakan
Air kumbahan yang disalurkan ke dalam longkang.
PASIR GUDANG – Lebih 1,000 penduduk Jalan Bayan Taman Kota Puteri, di sini, meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap masalah loji kumbahan yang tidak diselenggara sejak lebih 10 tahun lalu.

Penduduk, A Naidu, 63, berkata, penduduk bukan sahaja berdepan masalah bau busuk dan meloyakan malah limpahan air kumbahan masuk ke dalam rumah setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, air kumbahan yang tidak dirawat dibiarkan mengalir ke dalam longkang berhampiran sehingga menimbulkan pencemaran persekitaran dan bau busuk.

“Sepanjang 22 tahun saya menetap di sini, sudah lebih 10 tahun kehidupan kami sekeluarga terganggu dengan bau busuk dan meloyakan. Nak makan pun tak selera.

“Setiap kali hujan lebat, rumah kami dimasuki air yang busuk, tapi tak ada siapa pun yang tolong selesaikan perkara ini. Sudah terlalu lama begini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, V Veera, 55, berkata, sudah banyak aduan dikemukakan kepada pemimpin masyarakat yang berjanji untuk membawa perkara itu kepada pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini masalah itu berlarutan tanpa ada mana-mana pihak tampil mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah itu segera.

“Kami sudah tidak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi, sedangkan pemimpin masyarakat yang diharapkan boleh mengetengahkan masalah ini sekadar pandai berjanji.

“Selamilah masalah kami yang terpaksa hidu bau busuk ini. tidur dan selera makan termemang terganggu,” katanya.

Penduduk tertekan

SELAIN bau busuk, penduduk mendakwa keselamatan mereka turut terancam gara-gara diserang ular sawa sebanyak tiga kali, kerana keadaan kawasan di situ yang dipenuhi semak-samun.

Menurut M Ramamoorty, 57, penduduk juga tidak tahan dengan nyamuk berpunca daripada longkang yang menjadi takungan air sehingga dua penduduk terkena demam denggi baru-baru ini.

“Kami semakin tertekan, masalah ini dah serius. Sudahlah terpaksa menghidu bau busuk, terpaksa berjaga-jaga pula dengan serangan haiwan berbisa dan nyamuk.

“Kami minta pemimpin datang dan tengok masalah kami di sini.  Pihak bertanggungjawab juga perlu ambil tindakan segera selesaikan masalah ini kerana kami sudah tidak tahan lagi,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya sudah menghubungi pihak berkaitan minggu lepas.

Katanya, jika pihak berkenaan gagal mengambil tindakan dalam tempoh terdekat, pihaknya akan memanjangkan perkara itu kepada Biro Pengaduan Awam.

“Penduduk sedang berusaha mengumpulkan tandatangan sebagai sokongan supaya pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera.

“Sekiranya pihak bertanggungjawab yang berjanji akan mengambil tindakan segera tidak berbuat demikian.

“Kita akan menyerahkan tandatangan yang dikumpulkan daripada penduduk kepada BPA kerana ia melibatkan masalah serius membabitkan keselamatan lebih 1,000 penduduk di kawasan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment