Aug 11, 2011

PAS Johor satukan wartawan, dedah penyelewengan dan salah urus wang rakyat



JOHOR BAHRU, 10 OGOS : Badan Perhubungan PAS Negeri Johor telah berjaya menyatukan sekumpulan wartawan yang terdiri daripada media arus perdana dan media alternatif di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru lewat petang semalam. Program yang bermula seawal jam 5.30 petang itu dihadiri kira-kira 40 orang wartawan daripada pelbagai media.






Dalam satu kenyataan akhbar di majlis tersebut, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Prof. Dato’ Dr. Hj Mahfodz bin Mohamed bersama barisan kepimpinan PAS Negeri Johor telah mendedahkan sejumlah penyelewengan serta salah urus wang rakyat dan telah mengambil tindakan segera dengan menubuhkan satu ‘Task Force’ yang diketuai oleh salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor.

"PAS Negeri Johor akan melaksanakan cadangan yang bakal dikemukakan oleh ‘Task Force’ bermula selepas kita menyambut Hari Raya Aidilfitri," tegas Prof. Dato’ Dr. Hj. Mahfodz bin Mohamed.


Antara pendedahan bentuk penyelewengan yang dibuat adalah berkenaan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) melalui Master Agreement bertarikh 30 Mei 2007, dengan Credence Resources Sdn. Bhd. (CRSB), Danga Bay Holding Sdn. Bhd. (DBH) dan Danga Bay Sdn. Bhd. (DBSB) telah menjual dua daripada sembilan lot tanah yang berkeluasan 25.75 hektar (63.63 ekar) pada harga RM 22.38 juta sedangkan Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta di bawah Kementerian Kewangan telah menilai dua lot tanah tersebut pada harga RM 72.17 juta.

“Kita akan terus dedahkan satu persatu penyelewengan dan salah urus wang rakyat, dan biar rakyat negeri Johor sendiri yang menilai. Kita yakin rakyat akan mula buka mata dan akan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat selepas pendedahan ini dibuat,” jelas Tuan Haji Dzulkefly bin Ahmad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor.

Antara pendedahan lain yang bakal menyusul selepas ini adalah berkaitan dengan penswastaan pembinaan kampus induk Kumpulan YPJ (KPYPJ) oleh KPRJ dan Pembinaan Limbongan Setia Berhad (PLS), pembinaan sekolah-sekolah Agama di negeri Johor yang dilaksanakan secara monopoli, isu pemberian tanah seluas 60 ekar kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Johor di zaman Tan Sri Muhyidin Yasin yang akhirnya telah dijual secara murah kepada sebuah syarikat swasta serta banyak lagi kes-kes rasuah dan penyelewengan yang lain.

Program Mesra Muhibbah dan Majlis Berbuka Puasa bersama wartawan ini dihadiri oleh kira-kira 40 orang wartawan daripada pelbagai media termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Selatan Online, Sin Chew Daily, Oriental Daily dan Nusajayakini.


No comments:

Post a Comment