Jan 6, 2011

Ketua Menteri PP saman Utusan




Ketua Menteri Pulau Pinang memfaikan saman terhadap Utusan Malaysia hari ini berhubung satu artikel bulan lalu mendakwa beliau seorang anti-Melayu.



Lim menggambarkan artikel yang disiarkan 20 Disember lalu, bertajuk “Kebiadaban Guan Eng” sebagai fitnah dan menjatuhkan reputasi beliau sebagai ahli politik dan ketua kerajaan negeri.



Dalam samannya beliau memohon mahkamah memutuskan satu jumlah ganti rugi am termasuk ganti rugi teruk dan ataupun teladan untuk fitnah bertulis berkenaaan.



Artikel itu dikeluarkan sehari selepas konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.



Dalam rencana itu, Lim didakwa tidak membenarkan perarakan Maulidur Rasul, tidak membenarkan Pasar Ramadan di Komtar dan juga bahawa telah memrobohkan kampung-kampung Melayu.



Rencana itu antara lain berkata, “jika ucapan Lim Guan Eng di Konvensyen Pakatan Rakyat yang berlangsung di Kepala Batas, semalam diambil kira, Setiausaha Agung DAP itu tidak boleh marahkan sesiapa kalau beliau dianggap bersikap rasis dan menentang apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu.



“Tindakan biadab beliau yang menuduh pendokong dan peminat Utusan Malaysia sebagai bukan rakyat Malaysia sebenar dengan tafsiran akhbar ini mengamalkan ekstremisme sudah menunjukkan siapa Guan Eng.



“Tidak cukup dengan itu Guan Eng juga menyerang Barisan Nasional (BN) dengan tuduhan yang sama dengan mendakwa BN hanya tahu memperalatkan 3R iaitu Race (bangsa), Religion (agama) dan Raja.



“Gambaran yang cuba diberikan oleh Guan Eng secara tersirat ialah apa sahaja perjuangan yang berkaitan dengan Melayu tidak harus dibiarkan dan harus ditentang oleh pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat dan PAS.



“Kedua-dua parti berkenaan sememangnya diketuai oleh orang Melayu tetapi apabila Guan Eng menyerang orang Melayu dan institusi Melayu mereka hanya menyokong.



“Persoalannya baik sangatkah insan bernama (Lim) Guan Eng ini yang baru sepenggal memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang?”



Lim menafikan kesemua dakwaan yang dibuat oleh Utusan Malaysia.



Selain Utusan Malaysia, pentadbiran Lim juga berhadapan dengan serangan berterusan daripada pertubuhan-pertubuhan yang pro-Umno dengan mendakwa beliau bertindak bertentangan dengan masyarakat Melayu.- TMI

No comments:

Post a Comment