Sep 14, 2009

PEMBANGKANG TAK RETI PERINTAH: NAJIB




KL: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, menempelak pakatan pembangkang yang disifatkannya tidak tahu memerintah negara ini.

Beliau berkata perkara itu terbukti apabila setiap parti yang menganggotai pakatan berkenaan mempunyai pandangan berbeza mengenai bagaimana negara ini perlu ditadbir.

'Pembangkang belum tahu lagi macam mana hendak memerintah negara. Satu parti nak sekular, satu parti nak pemerintahan teokratik atau negara Islam dan satu lagi entah apa pendiriannya pun kita tidak tahu,' katanya di sini kelmarin.

Beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) Ke-63 yang dihadiri 1,464 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ini adalah kali pertama beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Menurut Datuk Seri Najib, pakatan itu juga tidak boleh dipercayai dan ini terbukti apabila ia tidak menunaikan janji yang dibuat kepada penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang.

'Saya nak tanya pembangkang, janji yang mereka buat. Siapa janji kepada penduduk Kampung Buah Pala kalau kami menang kamu akan tetap berada di sini selama-lamanya,' katanya.

Tambahnya, sikap pakatan itu yang tidak mengotakan janjinya berbeza dengan BN yang akan menunaikan segala janjinya kepada rakyat.

'BN adalah institusi politik yang terlalu banyak berjasa kepada negara kerana berusaha mewujudkan perpaduan politik.

'Kita juga berusaha menjadikan BN sebuah parti yang inklusif dan meraikan kepelbagaian mengikut acuan dan konsep 1Malaysia iaitu bersikap adil terhadap semua kaum.

'Kita juga harus mengingatkan diri kita dan generasi muda bahawa negara ini terkehadapan kerana wujud permuafakatan antara kaum,' katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Najib mengingatkan pemimpin parti-parti komponen BN supaya tidak hanya popular dalam kalangan ahli parti sedangkan pada masa sama mereka gagal memenangi hati rakyat.

Beliau berkata jika pemimpin terbabit lupa menjadi popular dalam kalangan rakyat, mereka sudah pasti akan dihukum dalam pilihan raya akan datang.

'Dalam sistem demokrasi berparlimen, suara keramat ialah suara rakyat dan kuasa mutlak berada di tangan rakyat bagi menentukan nasib BN dalam setiap pilihan raya.

'Sebab itu saya selalu mengingatkan bahawa tiada guna kita menjadi popular dalam kalangan ahli parti sahaja tetapi tidak popular dalam kalangan rakyat.

'Kalau kita popular dalam kalangan ahli parti, kita boleh menang jawatan dalam parti. Tetapi sama ada parti kita relevan atau tidak, ia bergantung pada sama ada kita boleh memenangi hati rakyat untuk menyokong BN,' katanya.

Datuk Seri Najib menegaskan, semua pemimpin parti komponen BN harus sedar bahawa rakyat kini bukan lagi seperti masyarakat pada tahun 1950-an.

'Rakyat sudah cerdik dan pandai menilai dasar-dasar kita. Oleh itu, untuk parti komponen BN kekal relevan, kita mesti membina hubungan dengan rakyat dan menjadi pembela rakyat yang sebenarnya,' katanya.

Pembangkang belum tahu lagi macam mana hendak memerintah negara - Najib

No comments:

Post a Comment