Jun 18, 2014

Hanya tumpang kasih cucu

P
ASIR GUDANG - Sepasang suami isteri warga emas di Taman Cendana, di sini menanggung tanggungjawab besar menjaga cucu selepas anak dan menantunya menghilangkan diri sejak 13 tahun lalu.

Chong Kin Yon, 79, berkata, hidupnya sebagai suami isteri menumpang kasih cucu dan jauh di lubuk hatinya terlalu kecewa dengan tindakan anak tunggalnya kerana langsung tidak menghubungi keluarga.

Menurutnya, dengan pendapatan isteri, Cheong Wan Lan, 56, kurang RM800 sebulan digunakan secara berjimat cermat menampung perbelanjaan keluarga dan membesarkan cucunya.

“Saya dah lama tak boleh bekerja kerana semput, hanya isteri yang cari makan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan persekolahan cucu saya.

“Saya dah lupakan anak saya walaupun dia satu-satunya anak kami, saya dah tak mahu ingat lagi perkara lama kerana peristiwa itu terlalu pahit untuk dikenang,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, cucunya, Chong Jie Xing, 13, berkata, hasratnya ingin belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang angkasawan bagi membalas jasa datuk dan neneknya yang telah banyak berkorban.

Katanya, dia berusaha untuk belajar hidup berdikari kerana tidak mahu terlalu membebankan datuk dan neneknya yang sudah tua.

“Saya sayang mereka (datuk dan nenek) kerana mereka yang menjaga saya sejak dari dalam kandungan sehingga mak saya lari tinggalkan saya selepas saya dilahirkan.

“Duit raya Cina dan Melayu saya kumpulkan sedikit demi sedikit sehingga saya dapat belikan komputer riba untuk memudahkan persekolahan saya.

“Saya akan belajar rajin-rajin supaya boleh berjaya dan balas jasa mereka” katanya yang tidak berkeinginan bertemu ibu dan bapanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga itu sejak lebih empat tahun lalu.

“Setiap bulan memang kami akan hantar bantuan barangan keperluan sejak lebih empat tahun lalu kerana pendapatan mereka terlalu terhad mengharapkan rezeki isteri yang bekerja di hotel dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

No comments:

Post a Comment