Feb 18, 2012

PROVOKASI TERDESAK PIHAK UMNO.




PASIR GUDANG -  Siri-siri provokasi pihak terdesak nyata tiada penghujungnya apabila edaran risalah yang dipercayai sebagai tindakan untuk menjejaskan reputasi pimpinan pembangkang dengan harapan rakyat tidak berada dalam program anjuran Pakatan Rakyat.

Difahamkan, operasi penyebaran ribuan risalah itu dilakukan sempena kehadiran Datuk seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia ke kawasan Flet Tasek 64, Bandar Seri Alam, dekat sini, baru-baru ini.



Untuk rekod, Parlimen Pasir Gudang antara kawasan yang kerap berdepan dengan provokasi, kebanyakannya membabitkan kunjungan pemimpin Pakatan Rakyat.

Syed Othman Syed Abdullah, Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Johor yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata, tindakan sedemikian merupakan provokasi yang tidak bertamadun kerana program berkenaan mendapat permit daripada pihak polis.

Ketakutan yang diterjemahkan melalui aktiviti risalah berbentuk hasutan tersebut ujarnya sebagai petanda bahawa sokongan rakyat terhadap mereka semakin merosot sedikit demi sedikit.

Paling menyedihkan, pihak terbabit turut menggunakan khidmat kanak-kanak bawah umur dan ini memperlihatkan betapa jentera mereka tidak berupaya menyaingi kemaraan pihak pembangkang.

”Kita kesal dengan tindakan itu kerana ribuan risalah yang diedarkan bukan sahaja berbentuk hasutan dan lucah, malah menggunakan kanak-kanak bawah umur untuk mengedarnya ke kawasan Masjid, rumah dan tempat meletak kereta awam,” katanya lagi

Feb 12, 2012

Pertemuan PM-Sultan: Pengganti MB jadi agenda


NONESpekulasi bertiup kencang mengenai pertemuan empat mata yang dijadualkan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, di istana baginda di Johor Baharu, hari ini.

Najib akan hadir bagi upacara ulang tahun ke-15 sambutan pembangunan Danga Bay yang terletak di sepanjang beberapa hektar pantai yang menghadap Selat Tebrau.

Sambutan dijadualkan bermula pada jam 3.30 petang dan selepas itu, Najib akan ke istana Bukit Serene, Johor Baharu untuk mesyuarat dengan baginda yang dijangka bermula pada jam 5.30 petang.

Baginda juga dijadual akan mencemar duli dengan sambutan ulang tahun itu dengan melancarkan yayasan kebajikan yang berkaitan dengan projekDanga Bay itu. Justeru, pertemuan baginda dengan perdana menteri menimbulkan pelbagai spekulasi, lebih-lebih lagi apabila aturcara seterusnya bagi Najib adalah bagi menyaksikan perarakan Chingay di pusat bandar yang hanya bermula pada jam 8.30 malam.


Sehubungan itu, masa pertemuan yang panjang itu dipercayai akan berkisar tentang perbincangan isu-isu politik berbanding perkara sosial. Antaranya sama ada Datuk Ghani Othman yang telah berkhidmat selama empat penggal akan terus dikekalkan sebagai Menteri Besar jika BN yang diramalkan akan terus berkuasa selepas pilihan raya akan datang.

Najib dikatakan mahu Ghani supaya terus berkhidmat tetapi menteri besar itu dalam kiasan pada ucapannya semasa perayaan Thaipusam, baru-baru ini memberi bayangan bahawa beliau mahu berundur dan telah juga mengenal-pasti calon yang paling layak mengambil tempatnya.
NONESebelum ini, Ghani (kanan) telah berulang-kali berkata bahawa ahli parlimen Johor Baharu Datuk Seri  Shahrir Abdul Samad patut diberikan peranan lebih luas dalam hierarki Umno negeri itu berdasarkan integriti dan keupayaannya.

Ini dilihat sesetengah pihak sebagai petanda jelas bahawa Ghani bersetuju mengundurkan diri supaya Shahrir dilantik sebagai penggantinya.

Namun bagi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga bekas menteri besar Johor, beliau bersedia melepas Ghani tetapi bukannya digantikan oleh Shahrir, yang dianggap bukan penyokong setianya.

Dalam perkiraan politik Umno Johor yang rumit, mana-mana calon yang mahu menggantikan Ghani, kecuali Shahrir mesti bergabung dengan Muhyiddin bagi menghidupkan sebarang peluang bagi mendapatkan kedudukan itu.

Selain itu, perkenan Sultan Johor juga penting sebelum keputusan pilihan muktamad dibuat. Baginda dikatakan juga bersetuju supaya calon baru dilantik sebagai menteri besar yang baru.

Sejarah membuktikan pilihan menteri besar di Johor cukup rumit. Putrajaya sedar pilihan yang tidak diperkenan oleh Istana Bukit Serene mungkin membawa padah dan menimbulkan pelbagai masalah lain.

NONEPercaturan memilih menteri besar baru semakin kusut apabila pada masa yang sama timbul ura-ura bahawa jawatan nombor satu dalam Umno yang kini diduduki oleh Najib sedang diintai oleh Muhyiddin.

Ramai penganalisis politik berpendapat jika Umno gagal merampas semula majoriti dua pertiga di parlimen dan juga beberapa negeri yang tewas pada pilihan raya umum 2008, maka Muhyiddin dijangka mencabar ketuannya itu. Lebih-lebih lagi pemilihan parti mesti diadakan selepas pilihan raya umum.

Feb 10, 2012

Tumpang di surau

Tumpang di surau
PASIR GUDANG – Sebuah keluarga enam beranak sudah hampir seminggu menumpang teduh di surau selepas diarahkan keluar oleh pemilik rumah apabila gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah di Flet Tasek Seri Alam, di sini.

Normaliza Mustafa, 33, berkata, hasratnya ingin merubah nasib keluarga dengan berhijrah ke Johor Bahru dari Bentong, Pahang masih belum tercapai apabila suami gagal mendapatkan pekerjaan tetap kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Menurutnya, suaminya dibela keluarga angkat tanpa pengenalan diri sehingga berdepan pelbagai masalah termasuk kesukaran mencari rezeki di negara sendiri.

“Kami baru dua tahun ke sini dengan harapan dapat merubah hidup kami anak-beranak, tetapi nampaknya nasib masih belum menyebelahi kami apabila suami sering dibuang kerja selepas gagal menyerahkan salinan kad pengenalan.

“Pada mulanya kami membawa diri ke taman rekreasi, tetapi anak-anak yang masih kecil merengek hendak tidur sehingga kami terpaksa ke surau berhampiran untuk menumpang bermalam,” katanya ketika ditemui media di Surau Beringin Taman Rinting, di sini, semalam.

Menurutnya, tiga anaknya sudah hampir seminggu tidak bersekolah selepas berdepan masalah kewangan sehingga kehilangan tempat berteduh.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat permudahkan urusan suami saya mendapatkan kad pengenalan.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya telah menyumbangkan barangan keperluan harian dan wang belanja kepada keluarga berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha mencari tempat tinggal selesa dengan kos yang rendah untuk memindahkan keluarga berkenaan.

Wanita 'hilang' anak dalam kes yang disyaki berunsur penyeludupan



MENCARI ANAK: Setelah Cik Wanchak menyerahkan anaknya kepada seorang pengasuh di Pasir Gudang, Johor, Mac tahun lalu, pengasuh itu menghilang dan kini berkata beliau sudah beri anak itu kepada pasangan lain. -- Foto M.O. SALLEH

SINGAPURA

Wanita 'hilang' anak dalam kes yang disyaki berunsur penyeludupan

Oleh
Nur Dhuha Esoof
HAMPIR setahun Cik Wanchak Ibrahim, 43 tahun, mencari anaknya, kini berusia 22 bulan, yang dibawa lari pengasuhnya. Namun, apabila pengasuh yang dikenali sebagai 'Cik Zainon' itu ditemui, beliau berkata anak itu tidak lagi dalam jagaannya. Malah, Cik Zainon berkata anak itu, Muhammad Ashraf Abdullah, telah 'dijual' kepada satu pasangan lain. Berita itu benar-benar mengejutkan Cik Wanchak, seorang warga Singapura yang menetap di Pasir Gudang, Johor. Semasa ditemui Berita Harian semalam, Cik Wanchak, yang mempunyai dua lagi anak, berusia 23 dan 19 tahun, mendakwa beliau diminta membayar ganti rugi sebanyak RM2,000 ($828) kepada pasangan tersebut. Menurut ibu tunggal itu, beliau menyerahkan Muhammad Ashraf apabila Cik Zainon datang ke rumahnya pada Mac tahun lalu. Beliau berjanji akan mengambil anaknya seminggu sekali serta membayar upah RM10 sehari kepada wanita berusia 46 tahun itu. Ketika itu, Muhammad Ashraf berusia 11 bulan. 'Zainon telah ke rumah saya untuk mengambil bekalan susu, mainan, buaian dan pakaian anak saya. Dia juga meminta sijil kelahiran asal agar mudah membawa anak saya ke klinik jika dia sakit nanti. 'Dia kemudian membawa saya ke balai polis untuk membuat laporan bahawa penjagaan anak saya sekarang diserahkan kepadanya,' kata Cik Wanchak, yang menyara hidup dengan menjual barang terpakai. Menurut Cik Wanchak, beberapa hari selepas itu beliau berkali-kali menghubungi Cik Zainon bagi mendapatkan berita tentang anaknya tetapi tidak berjaya. Beliau menjadi resah dan risau tentang keadaan anaknya, lalu membuat laporan di Balai Polis Pasir Gudang. Cik Wanchak tidak henti-henti berusaha mencari Cik Zainon, tetapi hanya berjaya menemui rumahnya di Kampong Sentosa, di Pasir Gudang, bulan lalu. 'Apabila saya mahu melihat Muhammad Ashraf, dia kata anak saya sudah diberikannya kepada saudaranya. Dia kemudian menghalau saya dari rumahnya. Saya rasa sungguh kecewa. 'Kali terakhir saya lihat anak saya ialah pada 20 Mac lalu. Macam mana saya tak sedih, tak rindu,' kata Cik Wanchak, sebak. Beliau kemudian membuat satu lagi laporan polis dan meminta bantuan daripada Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Permas dan Negeri Johor bagi membantunya mendapatkan anaknya, yang bakal menyambut ulang tahun keduanya April ini. Sementara itu, dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di Masai, Johor, semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Roslan Zainuddin, berkata pihaknya telah dapat menjejaki Muhammad Ashraf. Beliau memberi jaminan kepada Cik Wanchak bahawa anaknya berada dalam keadaan sihat dan selamat. Pihaknya sedang dalam proses menentukan kesahihan surat sumpah, yang menurut Cik Zainon ditandatangani Cik Wanchak sebagai bukti beliau telah menyerahkan Muhammad Ashraf kepadanya sebagai anak angkat. Proses itu mengambil masa satu bulan. Dalam sidang akhbar semalam, penyelia PAR, Syed Othman Syed Abdullah, berkata beliau mengadakan satu sidang akhbar awal minggu lalu dan menelefon Cik Zainon bagi mendapatkan penjelasan. 'Cik Zainon dengan terus terang berkata bayi itu telah diberikan kepada saudaranya, dan dia meminta ganti rugi bagi kos perubatan dan penjagaan jika Cik Wanchak mahu mengambilnya semula. 'Beliau juga mengaku mempunyai ramai anak angkat. Saya mengesyaki wanita ini terlibat dalam kes penyeludupan kanak- kanak, dan menggesa polis bertindak dengan cepat,' kata Encik Othman.

Feb 6, 2012

PULANGKAN ANAKKU

Pulangkan anakku...

Pulangkan anakku...
PASIR GUDANG – Luluh hati seorang ibu apabila bayi lelaki yang ditinggalkan untuk penjagaan sementara kepada seorang wanita di Kampung Sentosa, di sini disyaki telah dijual kepada keluarga angkat lain.

Ibu malang itu, Wanchak Ibrahim, 43, warga Singapura, mendakwa diperdayakan seorang wanita yang diperkenalkan oleh rakannya untuk menjaga bayinya ketika dia bekerja di republik itu.

Menurutnya, mengikut perjanjian awal, wanita tersebut bersetuju dibayar RM10 sehari sebagai upah menjaga bayinya, dan anak itu akan diambil seminggu sekali.

“Wanita yang dikenali sebagai Zainab (bukan nama sebenar) telah menyuruh saya membuat laporan polis ketika menyerahkan bayi saya, Muhammad Ashraf Abdullah ketika itu berumur 11 bulan untuk dijaganya pada 20 Mac tahun lepas.

“Saya terlalu mempercayainya dan tidak mengesyaki niat jahat untuk memperdayakan saya sehingga sanggup menyerahkan bayi berserta sijil kelahiran asli di balai polis selepas didesak Zainab yang kononnya untuk urusan klinik,” katanya pada sidang media, di Pusat Aduan Rakyat (PAR), di sini, semalam.

Wanchak berkata, selepas diserahkan, Zainab selepas itu seolah-olah cuba mengelak untuk bertemunya dan memberikan pelbagai alasan apabila ingin mengambil bayinya semula.

Menurutnya, hidupnya tidak keruan apabila Zainab memberitahu bayinya yang diserahkan dalam keadaan normal telah diberikan kepada sebuah keluarga angkat yang tidak mempunyai anak.

“Saya ke rumah Zainab selepas mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, tetapi terkejut apabila diberitahu anak saya telah diserahkan kepada orang lain.

Sementara itu, dalam perbualan telefon Penyelia PAR Permas, Syed Othman Syed Abdullah dengan Zainab disaksikan pihak media yang hadir, wanita itu mengakui bayi berkenaan telah diserahkan kepada sebuah keluarga angkat lain yang dikatakan saudaranya.

Zainab bersetuju menyerahkan kembali bayi berkenaan, tetapi meminta gantirugi bayaran rawatan dan kos yang telah dibelanjakan sepanjang 11 bulan bayi itu diserahkan kepada keluarga angkat